[email protected] +603-7967 7022               

2,094 PELAJAR BAHARU ASASI SAINS UNIVERSITI MALAYA SESI 2024/2025 MULA MENDAFTAR


Seramai 2,094 pelajar baharu sesi 2024/2025 bagi program-program Asasi Sains aliran Hayat, Fizikal, Sains Sosial dan Asasi Pengajian Islam dan Sains (APIDS) mula mendaftar di Universiti Malaya, di sini, hari ini.

Tahun ini mencatat sejarah apabila Universiti Malaya menawarkan Program Pengajian Asasi Universiti Malaya (UM) melalui Saluran Terbuka (SATU) di Kampus UM Cyberjaya untuk Program Pengajian Asasi Sains Hayat / Asasi Sains Fizikal / Asasi Sains Sosial dengan bilangan pelajar yang telah mendaftar pada 20 Julai 2024 (Sabtu) seramai 354 pelajar.

Naib Canselor Universiti Malaya, Profesor Dato’ Seri. Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman yang turut hadir semasa sesi lawatan hari pendaftaran berkata beliau mengucapkan selamat datang dan tahniah kepada semua mahasiswa baharu asasi Universiti Malaya.

“Saya berharap para mahasiswa baharu Universiti Malaya dapat memanfaatkan sepenuhnya pembelajaran selama setahun ini di Universiti terbaik di Malaysia. Bagi ibu bapa dan juga penjaga yang menghantar anak-anak mereka pada hari ini juga, saya ingin memberi jaminan bahawa pengurusan Universiti Malaya akan memberikan yang terbaik dari segi keselamatan, keselesaan dan pendidikan untuk anak-anak mereka,” katanya.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Profesor Dr. Zamri Radzi, pendaftaran pelajar baharu berlangsung selama dua hari di Universiti Malaya dengan kerjasama seramai 160 orang bantuan staf dan sukarelawan pelajar.

“Proses pendaftaran pada hari ini berjalan lancar, terutamanya dengan bantuan staf dan sukarelawan yang bertugas dengan penuh dedikasi sejak awal pagi hari ini dan juga semalam. Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada para mahasiswa dan ibu bapa yang mendaftar pada hari ini. Mewakili pihak pengurusan Universiti Malaya, saya dan pasukan Hal Ehwal Pelajar akan memastikan para mahasiswa berasa selesa untuk menjalani kehidupan di kampus.

“Mahasiswa mahasiswi baharu hari ini merupakan mutiara kepada Universiti Malaya untuk meneruskan legasi dan membawa nama baik Universiti,” tambahnya lagi.

Mahasiswi yang berasal dari Negeri di Bawah Bayu, Sabah, Nea Luna Affendy,18, berkata beliau telah sampai ke Kuala Lumpur dua hari lepas bagi persiapan untuk mendaftar ke Universiti Malaya.

“Saya berharap saya dapat merealisasikan impian sebagai graduan Universiti Malaya seterusnya menjadi pakar bedah terkemuka di dunia,” katanya.

Muhammad Hakimi bin Abdullah Aziz, 18, yang berasal dari Tanah Merah, Kelantan berkata beliau gembira dan teruja dapat menjadi mahasiswa Universiti Malaya dan berpeluang berkenalan dengan rakan-rakan yang baru.

“Saya datang ke Kuala Lumpur menaiki bas dengan ibu saya dan saya berharap saya boleh mengharungi kehidupan di kampus dengan penuh jaya, sehingga menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda di Universiti Malaya dalam bidang sains,” jelasnya.

Seorang ibu, Hundra Seem Mia yang hadir pada hari ini ke Universiti Malaya dari Labuan sangat terharu anaknya Chan Kah Meng,18, dapat menjejakkan kaki ke Menara gading.

“Saya dan juga suami tidak pernah merasai kehidupan sebagai pelajar Universiti, saya sangat berharap anak saya dapat memanfaatkan peluang ini untuk menjadi insan yang berguna kepada negara dan bangsa,” ujarnya sebak.

Last Update: Aug 12, 2024