[email protected] +603-7967 7022               

DI SEBALIK PENGHASILAN TOPENG MUKA KHAS FAISAL HALIM


Baru-baru ini, seluruh negara gembira dengan berita kembalinya Faisal Halim ke perlawanan bola sepak separuh akhir kedua Piala FA menentang Terengganu FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Sabtu lalu. 

Faisal Halim muncul dengan memakai topeng muka pelindung khas untuk melindungi wajahnya yang cedera. Topeng muka tersebut merupakan reka bentuk khas dari hasil kajian oleh Universiti Malaya melalui BioApps Sdn Bhd dan nasihat dari Jabatan Pemulihan Kecederaan Sukan.

Naib Canselor Universiti Malaya, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman yang juga merupakan pakar penyelidik biomekanik dan rekabentuk prostetik antara kumpulan penyelidik yang terlibat dalam penghasilan topeng muka tersebut. 

“Penghasilan topeng muka khas ini adalah salah satu strategi utama Universiti Malaya iaitu memasyaratkan impak komuniti daripada kepakaran dan hasil penyelidikan Universiti Malaya,” tambahnya lagi. 

Menurut pakar perubatan pemulihan kecederaan sukan, Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Dr. Ahmad Hazwan Ahmad Shushami, setelah penelitian dan penilaian yang dibuat berdasarkan kondisi Faisal Halim, pihak beliau berpendapat bahawa Faisal Halim memerlukan topeng muka khas bagi melindungi parut dan kecederaan beliau untuk kembali beraksi di padang.

Topeng muka khas tersebut dihasilkan oleh BioApps Sdn Bhd dalam masa seminggu setelah menerima rekomendasi dari pakar perubatan pemulihan kecederaan sukan. 

Menurut Muhammad Hazim Kamaruzaman, Pakar Prostetik & Ortotik, BioApps Sdn Bhd, topeng muka tersebut diperbuat dari bahan carbon fibre yang lebih ringan dan nipis dapat membantu Faisal Halim selesa untuk kembali beraksi di padang serta melindungi saraf dan luka Faisal Halim yang masih belum pulih.

“Penghasilan topeng muka khas tersebut telah dihasilkan berdasarkan kondisi parut muka yang agak serius dan telah melalui beberapa peringkat pengukuran dan pengujian tahap keselesaan sebelum penghasilan peringkat akhir,” katanya.

“Teknologi 3D screening digunakan bagi mengenal pasti bentuk kepala dan muka, manakala, teknologi 3D printing digunakan bagi menghasilkan topeng tersebut, kata Mouaz Al Kouzbary, pelajar pascasiswazah kejuruteraan mechatronics, Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya.

Faisal Halim ketika ditemubual di Klinik Perubatan Sukan, Pusat Perubatan Universiti Malaya berkata topeng muka khas tersebut membantu melindungi parut muka beliau semasa menjalani latihan dan perlawanan. 

“Dengan topeng muka tersebut, saya rasa kembali normal dan selesa untuk beraksi di padang. Mungkin pada pandangan masyarakat, pemakaian topeng muka tersebut agak janggal tetapi saya memerlukannya sehingga luka dan parut muka saya kembali pulih.

“Kini, saya fokus kepada persediaan diri di tahap maksimum dan saya juga bersyukur dengan ujian kecerdasan yang saya lakukan pada hari ini,” katanya lagi. 

 

MENGENAI BIOAPPS SDN BHD 

BioApps Sdn Bhd merupakan syarikat spin-off Universiti Malaya, yang ditubuhkan di bawah Centre for Applied Biomechanics (CAB), Fakulti Kejuruteraan, pada 17 Mei 2012. Pengarah, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman, mempunyai pengalaman luas dalam bidang kejuruteraan dan telah berada di dalamnya selama lebih 25 tahun.

Pada Januari 2015, BioApps memulakan operasinya di Tingkat Bawah, Menara Selatan, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan kini menyediakan perkhidmatan prostetik dan ortotik tunggal untuk PPUM.

Last Update: Aug 19, 2024