Fakulti Sains Universiti Malaya telah menganjurkan Science Open Day bagi menarik minat pelajar sekolah dan juga orang awam dekati sains dengan lebih dekat sempena sambutan ulang tahun penubuhan fakulti ke 65 tahun.
Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Zarinah Anwar telah merasmikan hari terbuka tersebut dan berkata melalui Science Open Day ini, kita merayakan kecemerlangan ilmu pengetahuan, penemuan dan inovasi. This is a celebration of knowledge, discovery and innovation.
“Fakulti Sains Universiti Malaya merupakan antara fakulti tertua dan terbesar di Universiti ini, dan telah memulakan sesi pengajiannya pada tahun 1959. Tahniah saya ucapkan kepada Fakulti Sains sempena sambutan ulang tahun yang ke 65 serta penganjuran "Science Open Day" yang akan berlangsung selama 3 hari bermula hari ini sehingga 16 Mei 2024. Science Open Day ini melibatkan penyertaan guru-guru serta lebih kurang 600 pelajar sekolah menengah.
“Melalui Science Open Day ini, kami berhasrat bukan hanya untuk membuka pintu makmal dan ruang belajar, tetapi juga membuka pintu imaginasi dan penerokaan yang boleh menimbulkan rasa ingin tahu dan membimbing kita untuk memahami kerumitan yang kita alami serta memperkasakan kita untuk mencipta hari esok yang lebih baik,” katanya.
Dekan Fakulti Sains, Profesor Dr Zulqarnain Mohamed berkata penganjur “Science Open Day" telah menyusun program dan menyediakan aktiviti-aktiviti seperti open labs (makmal terbuka), pameran Sains, pameran hasil penyelidikan, kuiz dan sesi perkongsian yang melibatkan 6 Jabatan di Fakulti Sains iaitu Institut Sains Biologi, Institut Sains Matematik, Jabatan Fizik, Jabatan Kimia, Jabatan Geologi dan Jabatan Sains & Teknologi. Saya juga difahamkan bahawa lawatan-lawatan ke Ladang Mini Institut Sains Biologi, Rimba Ilmu, Muzium Zoologi, Muzium Geologi, dan lain-lain telah juga di aturkan.
“Kami berharap penganjuran program ini, dapat membangkitkan minat dalam bidang Sains dan Teknologi di kalangan pelajar sekolah serta meningkatkan peluang bagi para pelajar untuk mendapatkan pengalaman secara langsung dalam menerapkan konsep-konsep yang telah dan bakal dipelajari. Saya juga berharap peluang untuk berbincang, berinteraksi dan menjalin hubungan yang produktif dapat di manfaatkan dengan sepenuhnya.
“Science Open Day ini merupakan hari yang didedikasikan untuk pembelajaran, percubaan dan kerjasama, di mana pakar dan pelajar sama-sama berkumpul untuk berkongsi minat, berinteraksi secara langsung bagi membolehkan para pelajar meraih pemahaman yang lebih mendalam tentang pelbagai jenis ilmu sains dan aplikasinya dalam kehidupan manusia. Oleh itu saya menggalakkan setiap pelajar dan juga guru melibatkan diri secara aktif, bertanya soalan dan memanfaatkan penyertaan dalam pelbagai pameran, demonstrasi dan pembentangan yang menanti. Perlu kita menghayati semangat inkuiri atau the spirit of enquiry and embrace the possibilities that science has to offer,” tambahnya lagi.