Universiti Malaya (UM) dengan kerjasama Climate Governance Malaysia (CGM) telah menganjurkan ‘Forum on the Power of Language, Urgency and Effective Communication in Addressing the Climate Crisis’ pada 12 September 2024 bersempena penganjuran National Climate Governance Summit (NCGS) 2024 anjuran Companies Commission of Malaysia dan Climate Governance Malaysia yang berlangsung selama tiga hari.
Forum dalam talian anjuran UM yang berlangsung selama 2 jam ini bertujuan untuk mengetengahkan peranan kritikal bahasa dan naratif dalam wacana perubahan iklim yang sangat penting untuk membentuk persepsi masyarakat. Penerokaan ini menyoroti bagaimana komunikasi yang berkesan dapat mendorong perubahan tingkah laku masyarakat yang diperlukan untuk menangani cabaran dan krisis iklim.
Forum ini merupakan komitmen kolektif Universiti Malaya bersama rakan kelestarian strategik Climate Governance Malaysia (CGM) sebagai kesinambungan daripada siri pertama yang dianjurkan pada sesi 2023. Lebih 300 peserta tempatan dan antarabangsa dalam talian termasuk yang menghadiri acara utama secara fizikal di Bank Negara Malaysia, Kuala Lumpur telah menyertai forum ini yang terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk wakil akademik, industri, belia, komuniti dan awam.
Panel jemputan yang terdiri daripada pakar terkemuka tempatan dan antarabangsa dalam bidang bahasa, media dan penerbitan penyelidikan telag mengupas peranan bahasa, pendekatan linguistik dan komunikasi berkesan dalam konteks krisis iklim yang kian menjadi topik perbincangan merentas pelbagai medium.
Menurut Profesor Dr. Surinderpaul Kaur, Dekan Fakulti Bahasa dan Linguistik Universiti Malaya, forum ini bukan sahaja dapat menyumbang kepada peningkatan kesedaran masyarakat berkenaan peranan bahasa dan komunikasi berkesan dalam membentuk naratif yang lebih seimbang berkenaan krisis iklim, bahkan platform seumpama ini sedikit sebanyak sebagai persediaan mendepani cabaran semasa dan mendatang. Kami di Universiti Malaya juga berharap menerusi inisiatif wacana seumpama ini, ia dapat memberikan pendedahan yang lebih berkesan mengenai peranan masyarakat untuk bersifat lebih proaktif terhadap tindakan iklim.
“Bahasa secara signifikan mempengaruhi bagaimana masyarakat umum melihat perubahan iklim, penyepaduan naratif yang mengimbangi pendekatan tradisional dan inovatif dapat meningkatkan penglibatan awam sekaligus mempromosikan perubahan tingkah laku lestari. Peranan institusi pendidikan tinggi dalam mengetengahkan impak dan output penyelidikan dari perspektif ini tidak dapat dinafikan lagi kepentingannya. Di sinilah peranan warga pendidik dan institusi keilmuan untuk merapatkan jurang pengetahuan dan menggalakkan tindak balas proaktif terhadap perubahan iklim,” tambah beliau.
Walaupun wacana semasa sering condong ke arah sensasionalisme, terdapat penerimaan yang semakin meningkat tentang keperluan terhadap naratif seimbang terutamanya dalam media massa yang dapat memupuk pemahaman dan komitmen yang lebih mendalam terhadap tindakan iklim.
Menurut Profesor Ir. Dr. Abdul Aziz Abdul Raman, Pemangku Pendaftar UM dalam ucapan alu-aluannya, Universiti Malaya sebagai sebuah universiti awam berstatus universiti penyelidikan terkemuka di Malaysia dan di arena antarabangsa, perlu sentiasa peka dan memainkan peranan proaktif ke hadapan dalam memberikan sumbangan dan impak positif terhadap tindakan iklim. Hal ini sejajar dengan aspirasi tiga landasan utama Universiti Malaya: Communitize UM, Industrialize UM, dan Internationalize UM bagi memastikan segala aktiviti dan inisiatif dari warga akademik, staf dan pelajar selari dengan gagasan kelestarian global seumpama Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) menjelang 2030 dan Perjanjian Paris (COP21) yang dimeterai 169 negara dunia yang sepakat memastikan had pemanasan global kekal di bawah 2, seboleh-bolehnya pada 1.5 darjah Celsius, berbanding paras suhu direkodkan pada zaman pra-perindustrian.
“UM komited dalam memastikan output penyelidikan, pengajaran dan pembelajaran, pembangunan bakat dan kepakaran sumber manusia, pengurusan operasi dan pembangunan fizikal UM turut diselarikan dengan aspirasi UM ke arah kampus sifar bersih dan lestari dalam menyokong tindakan iklim yang lebih inklusif dan kolektif,” ujar beliau.
Forum ini dijayakan oleh Fakulti Bahasa dan Linguistik dengan sokongan Pusat Pembangunan Lestari Universiti Malaya dan Jabatan Teknologi Maklumat, dengan kerjasama strategik Climate Governance Malaysia (CGM). Rakaman penuh sesi wacana ini boleh diakses dan diulang tayang melalui pautan:
https://www.youtube.com/live/vjSADZWnsso?si=mhI7ExcizNOBPMKH