DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim berkenan untuk merasmikan Pameran Limar “Tenunan warisan yang kian dilupakan” anjuran Muzium Seni Asia Universiti Malaya dimana sejumlah 78 koleksi tenunan limar dipamerkan bersempena pameran tersebut, semalam.
Bersesuaian dengan temanya, keunikan tenunan limar diangkat bagi mengembalikan kegemilangannya yang dianggap antara kain tenunan tertua dan terbaik yang dihasilkan di negara ini secara ilmiah menerusi pameran dan penerbitan buku lengkap koleksi. Tenunan limar yang terdiri daripada beraneka ragam seni hias dan teknik penghasilan. Seperti yang kita ketahui limar tidak lagi dihasilkan secara meluas, namun demikian terdapat usaha pihak-pihak tertentu khususnya penenun-penenun tempatan.
Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Zarinah Anwar berkata, “berdasarkan penyelidikan bersama dengan penggiat seni warisan, Muzium Seni Asia Universiti Malaya telah mengenal pasti dua helai kain Limar bersongket yang cukup istimewa bukan sahaja dari segi kualiti seni pembuatannya tetapi juga dari sejarah penggunaannya. Kain limar bersongket tersebut dalam peringkat untuk didaftarkan sebagai Objek Warisan Kebangsaan.
“Dua kain tersebut merupakan hasil kerja tangan terbaik serta telah digunakan di istana berdasarkan motif cogan yang merupakan simbol diraja. Sekiranya diluluskan, ia dapat memberi nilai tambah yang eksklusif kepada himpunan koleksi sedia ada di Muzium ini. Inisiatif yang diambil adalah langkah yang sangat relevan dengan tujuan utama sebuah institusi muzium. Ia bertepatan dengan fungsi Muzium itu sendiri yang antara lain sebagai sebuah institusi bagi mengumpul, memelihara dan berkongsi ilmu khazanah warisan ketara dan tidak ketara.
“Pada hari ini legasi Pak Engku dalam memartabatkan kesenian budaya dan warisan telah diteruskan oleh anakandanya iaitu Tan Sri Zeti Akhtar Aziz. Untuk makluman hadirin sekalian, Tan Sri Zeti telah berbesar hati menaja percetakan buku bertajuk Limar: Tenunan Warisan Melayu Koleksi Universiti Malaya yang diterbitkan bersempena pameran Limar ini,” katanya.
Kurator Muzium Seni Asia, Zahirah Noor Zainal Abidin berkata, menyelusuri sejarah, Limar didakwa diilhamkan daripada sejenis kain import dari India bernama patola. Tekstil patola ini banyak dieksport ke kepulauan nusantara sejak abad ke-16 lagi dan amat diminati oleh golongan istana. Kain ini dikatakan cukup rumit untuk dihasilkan kerana menggunakan teknik double ikat atau ikat ganda yang mana memerlukan kedua-dua benang suteranya iaitu loseng dan pakan diikat dan diwarnakan terlebih dahulu sebelum ditenun menerusi proses tie and dye. Bagaimanapun setibanya di Alam Melayu rakyat tempatan menggelar ia sebagai kain cindai.
“Dengan keindahan dan seni pembuatannya yang cukup menarik itu, tidak hairanlah kain import ini menjadi pilihan dan kegemaran penduduk alam melayu yang seterusnya menjadikan ia sebagai sumber ilham penghasilan tekstil bercitarasa tempatan yang dikenali sebagai kain limar
“Diharap juga dengan pameran dan penerbitan katalog ini dapat memberi peluang kepada masyarakat terutama generasi muda untuk mengetahui lebih mendalam tentang keunikan dan sejarah tenunan yang cukup bernilai ini menerusi aspek sejarah, kaedah penghasilan, jenis dan penggunaannya. Seterusnya mampu menimbulkan minat serta kebanggaan kepada mereka yang baharu mengenali keistimewaan dan keindahan kain tenunan ini,” katanya.