Canselor Universiti Malaya, DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan untuk berangkat ke majlis Anugerah Cemerlang Universiti Malaya 2024 dan menganugerahkan Anugerah Cemerlang kepada 63 individu/pusat penyelidikan/badan korporat bertempat di Royal Chulan Damansara.
Kategori anugerah tertinggi dengan ganjaran RM 10,000.00 ialah Program Akademik Inovatif bertujuan mengiktiraf program yang menekankan reka bentuk kurikulum secara inovatif dan kreatif sehingga berjaya melahirkan graduan yang berdaya tahan dan tersedia masa hadapan (resilient and future-ready). Antara kategori anugerah lain ialah Pentaksiran Alternatif Inovatif, Pengajaran Cemerlang, Pentadbir Akademik Terbaik, Penyelidik Muda Cemerlang, Tokoh Penyelidik, Rakan Korporat, Rakan Cemerlang dan banyak lagi.
Naib Canselor Universiti Malaya, Profesor Dato’ Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman dalam ucapannya berkata, Anugerah Cemerlang Universiti Malaya (ACUM) merupakan anugerah tahunan yang diadakan untuk memberi penghargaan kepada staf cemerlang Universiti Malaya dan juga kepada badan-badan korporat bagi menyanjung dan menghargai sumbangan mereka kepada Universiti Malaya. Tahun 2024 merupakan tahun ke – 12 penganjuran Anugerah Cemerlang Universiti Malaya. Seiring dengan tema Anugerah Cemerlang Universiti Malaya “Pencetus Kecemerlangan”.
“Tanpa kesungguhan dan usaha gigih mereka, pencapaian dan kecemerlangan yang kita saksikan pada hari ini pastinya tidak akan tercapai. Oleh itu, marilah kita bersama-sama memberi penghormatan dan pengiktirafan kepada mereka pada majlis ini.
“Dalam perubahan ini, UM berpegang teguh serta terus yakin dan berani dalam membuat perubahan dan transformasi strategik sebagai usaha menggapai langit dan mencorak acuan baharu, iaitu tetap kental dalam norma dan nilai negara selari dengan tagline baharu UM Home of the Bright, Land of the Brave (Di Sini Bermulanya Pintar, Tanah Tumpahnya Berani).
“Universiti Malaya akan menjadi model kepada bangsa dan negara dengan memberikan sinar harapan dan panduan kepada Kerajaan dan negara dalam melakar harapan baharu kepada pembangunan negara dan masyarakat Malaysia,” tambah Profesor Dato’ Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman.