[email protected] +603-7967 7022               

UM JALANKAN KAJIAN JANGKA PENDEK EKOSISTEM ENVIRONMENTAL, SOCIAL AND GOVERNANCE (ESG) UNTUK PEMBANGUNAN RANGKA KERJA DAN PELAN HALA TUJU ESG DI MALAYSIA


YB Dato' Hajjah Hanifah Hajar Taib, Timbalan Ketua Menteri Kementerian Ekonomi telah menghadiri perbincangan meja bulat bersama Pusat SDG Negara dan Universiti Malaya yang terdiri daripada kalangan penyelidik Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Environment, Social & Governance (ESG) di Wyndham Grand Bangsar, Kuala Lumpur.

Penyelidikan yang dijalankan oleh Universiti Malaya bertajuk “Kajian Jangka Pendek Ekosistem Environmental, Social and Governance (ESG) untuk Pembangunan Rangka Kerja dan Pelan Hala Tuju ESG di Malaysia” yang diketuai oleh Dr. Noor Zalina Mahmood, Ketua Pusat Kecemerlangan Penyelidikan ESG dan Profesor. Dr. VGR Chandran, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi merupakan kolaborasi dengan Universiti Awam lain iaitu Universiti Sains Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Malaysia Terengganu beserta pihak industri iaitu AMRACE, Galaxy Tech Solutions(KL) Sdn. Bhd. dan Polar Advisory Group Sdn Bhd. Kajian ini menumpukan kepada Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) dalam membangunkan rangka kerja dasar dan pelan hala tuju bagi menyatukan ekosistem ESG, serta menyokong peralihan kepada penggunaan ESG secara berkesan.

Perbincangan tersebut dihadiri oleh 25 wakil dari pelbagai organisasi swasta, industri, dan NGO antaranya FGV Holdings, CIMB Bank, Maybank, TNB Berhad, PETRONAS, Nestle, MAG dan Persatuan ESG Malaysia. Tujuan utama perbincangan ini adalah untuk membincangkan dan merancang usaha sama yang dapat membantu kelestarian perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia dalam mengamalkan dan melaksanakan prinsip Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG) secara meluas.

Topik yang dibincangkan termasuk strategi dan inisiatif yang boleh diambil oleh PKS untuk memastikan amalan perniagaan mereka selari dengan keperluan ESG di dalam dan luar negara. Ini melibatkan penggunaan sumber yang mampan, tanggungjawab sosial kepada komuniti, dan tadbir urus korporat yang beretika dan telus. Selain itu, perbincangan juga menekankan pentingnya kerjasama antara sektor swasta, industri, dan NGO dalam menyediakan sokongan dan bimbingan yang diperlukan oleh PKS untuk mencapai matlamat ESG mereka.

Dengan adanya kerjasama ini, diharapkan lebih banyak PKS di Malaysia akan mampu menjalankan perniagaan yang lebih bertanggungjawab dan mampan, sekaligus menyumbang kepada pembangunan ekonomi yang lebih lestari dan inklusif memandangkan PKS memainkan peranan yang signifikan di dalam ekonomi negara.

Last Update: Aug 09, 2024