Universiti Malaya telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan Pertandingan Ihtifal Institusi Pendidikan Tinggi Peringkat Kebangsaan 2024 yang telah dirasmikan oleh YB Senator Dr. Zulkifli Bin Hasan, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bertempat di Universiti Tenaga Nasional, di sini, hari ini.
Naib Canselor Universiti Malaya, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman yang turut menghadiri Majlis Penutupan tersebut mengucapkan tahniah kepada mahasiswa mahasiswi yang telah menyertai pertandingan ini dan juga membawa nama baik Universiti Malaya ke peringkat Kebangsaan.
“Universiti Malaya berbangga mempunyai mahasiswa-mahasiswi yang berbakat dan saya berharap Universiti Malaya dapat kekalkan kemenangan pada tahun-tahun akan datang,” katanya.
YB Senator Dr. Zulkifli Bin Hasan, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam ucapannya berkata mahasiswa Islam perlu mempersiapkan diri sebagai pelapis kepimpinan negara di masa akan datang. Mahasiswa perlu bersedia menggalas amanah yang lebih besar untuk memimpin negara, bermula dengan menyertai organisasi dan berpersatuan di universiti. Pelajaran yang tidak terdapat dalam silibus di bilik kuliah ini diharap dapat membentuk peribadi mahasiswa Islam yang Al-Qawiy dan Al-Amin, insya Allah.
“Saya yakin bahawa segala usaha yang kita curahkan sepanjang program ini akan memberikan manfaat yang besar dan membuahkan hasil yang cemerlang. Bukan itu sahaja, semoga prestasi yang ditonjolkan dapat menjadi inspirasi dan membuka wawasan baharu kepada pelajar yang lain. Saya juga berharap agar kita dapat terus memperbaiki diri dan memberikan yang terbaik dalam setiap apa yang kita lakukan,” katanya.
Senarai Pemenang dari Universiti Malaya adalah seperti senarai di bawah :
Wakil kontinjen Universiti Malaya, Saiyid Hasan Basri Saiyid Anwar dari Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya berkata beliau berbangga dengan kontinjen Universiti Malaya kerana bersungguh-sungguh dalam pertandingan ini.
"Terdapat dua perkara yang perlu ditekankan bagi setiap pertandingan yang ditandingi, komited dan bersungguh-sungguh serta berikan komitmen dari setiap individu sepenuhnya untuk mencapai kejayaan. Saya mengharapkan agar pertandingan seperti ini dapat diteruskan lagi dan Universiti Malaya dapat mengungguli lagi sebagai johan keseluruhan pertandingan ini," katanya.